Monday, 13 November 2017

Tafsir Ibnu Katsir, Surah Al An'am : 6



Ertinya : Tidakkah mereka memperhatikan berapa banyak umat-umat sebelum mereka yang telah Kami binasakan, padahal (umat-umat itu), telah Kami teguhkan  kedudukannya di bumi, iaitu keteguhan yang belum pernah Kami berikan kepadamu. Kami curahkan hujan yang lebat untuk mereka dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka kerana dosa-dosa mereka sendiri, dan Kami ciptakan umat yang lain setelah umat mereka.

Tafsir Ibnu Katsir :

Allah SWT menasihati dan memperingati kaum kafir berkenaan datangnya azab dan pembalasan di dunia yang akan menimpa mereka, seperti yang telah menimpa umat-umat terdahulu yang perbuatannya serupa dengan perbuatan mereka. Padahal mereka lebih kuat, lebih ramai jumlahnya, lebih banyak harta benda dan anak-anaknya,lebih berkuasa dan lebih tinggi ketamadunannya daripada mereka. Oleh kerana itu Allah SWT berfirman, {Tidakkah mereka memperhatikan berapa banyak umat-umat sebelum mereka yang telah Kami binasakan, padahal (umat-umat itu), telah Kami teguhkan  kedudukannya di bumi, iaitu keteguhan yang belum pernah Kami berikan kepadamu..} Iaitu mereka memiliki lebih banyak harta benda, anak-anak, banguna-bangunan, kedudukan yang kuat, pengaruh yang luas, dan bala tentera yan banyak.

Dalam firman yang selanjutnya, {Kami curahkan hujan yang lebat untuk mereka..} Yang dimaksudkan dengan Midraran ialah hujan yang dturunkan kepada mereka secara beransur-ansur. {Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka..} Iaitu Kami memperbanyakkan turunnya air hujan kepada mereka dan sumber-sumber air sebagai istidraj (nikmat yang diberikan agar mereka lalai dengan Azab Allah) dan sebagai pemuas mereka. {kemudian Kami binasakan mereka kerana dosa-dosa mereka sendiri,..} disebabkan oleh dosa-dosa dan kejahatan-kejahatan yang mereka lakukan. {dan Kami ciptakan generasi yang lain setelah generasi mereka...} Maka generasi yang pertama lenyap seperti lenyapnya hari semalam dan Kami menjadikan mereka sebahagian dari sejarah. {dan Kami ciptakan generasi yang lain setelah generasi mereka...} Iaitu generasi lain untuk Kami uji lagi, ternyata generasi yang baru ini melakukan amal perbuatan yang serupa dengan generasi sebelum mereka, akhirnya mereka juga dibinasakan, sama seperti generasi pendahulu mereka. Kerana itu, berhati-hatilah kamu, wahai orang-orang yang diajak berbicara, janganlah sampai menimpa kamu apa yang pernah menimpa mereka, kerana menurut Allah kamu tidaklah lebih kuat daripada mereka dan Rasul yang kamu dustakan itu lebih mulia disisi Allah daripada rasul mereka. Kerana itu, kamu adalah orang-orang yang lebih layak mendapat azab dengan segera daripada mereka, seandainya tidak ada kelembutan dan kebaikan Allah. (Ibnu Kasir, Tafsirul quranil Azimi, Jilid 6, 1421 H/2000M : 10-11)

No comments:

Post a Comment